Kehidupan peribadi Shima (penyanyi)

Shima mula menyanyi ketika berusia 18 tahun bersama The Boys. Pada tahun 1990, Shima mendirikan rumahtangga bersama pemain keyboard kumpulan itu iaitu Satiman. Perkahwinan pada usia muda ternyata tidak menjanjikan kebahagian buat Shima. Biarpun Satiman begitu menyokong karier Shima malahan terbabit dalam penerbitan album beliau, hubungan mereka berdua tidak kesampaian. Pada tahun 1994, Shima dan Satiman bercerai.

Seterusnya, Shima berkenalan dengan seorang guru bernama Khairun Lamb pada tahun 1996 dan seterusnya mendirikan rumahtangga. Namun panas tidak berpanjangan, jodoh Shima dan Khairun juga tidak panjang. Mereka berpisah pada tahun 1998.

Sejak berkahwin dengan jejaka berasal dari Kanada pada tahun 2003, Shima bersyukur kerana perkahwinan ketiga itu kekal sehingga hari ini. Menurut Shima, walaupun suaminya bukan orang Melayu tetapi seleranya yang lebih Melayu dan suka makan di rumah membuatkan Shima teruja menjadi suri rumah yang memasak pelbagai resepi Melayu dan Barat.Walaupun kadangkala dia ingin hidup seperti orang biasa tetapi sesekali dia akan memenuhi tawaran menyanyi untuk dinner show dan juga di hotel. Suaminya juga tidak pernah menghalang beliau menyanyi asalkan kontrak persembahan hanya hotel di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Menurut Shima, menyanyi di lounge bukanlah mudah. Setiap malam dia harus menyanyi selama 180 minit yang dibahagikan kepada empat segmen. Selain lagu-lagu permintaan pengunjung, antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan Shima ialah lagu-lagu popular Frank Sinatra, Nat King Cole di samping lagu-lagu hitsnya.

Setelah album Ke Pangkuanmu tidak dapat membantunya meneruskan kerjaya dalam bidang seni, Shima lebih banyak menumpukan perhatian pada rumah tangga.

Pada Tahun 2018 beliau bertudung sepenuhnya.